Monday, October 20, 2008

History HSBP 1957-1968

Pada tahun kemerdekaan, 1957, sekali lagi nama sekolah ini telah diubah menjadi High School Batu Pahat (HSBP) dan seterusnya dikenali sebagai Sekolah Tinggi Batu Pahat (STBP) sehinggalah masa kini.


Pada tahun 1958, beberapa buah kelas menengah aliran Melayu telah dibuka di seluruh negara. Kelas-kelas ini menumpang di sekolah-sekolah menengah aliran Inggeris. HSBP telah dijadikan tumpangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat (yang beraliran Melayu) bermula pada tahun 1958 dan berlanjutan sehingga 2 Januari 1961 apabila bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat siap dibina dan digunakan oleh sekolah itu sendiri. Sekolah itu kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar.



Sesuai dengan perkembangan pendidikannya, pada tahun 1962, dua buah makmal sains telah dibina untuk menjadikan jumlah makmal sains pada waktu itu 5 buah, iaitu 3 di Blok Cendekiawan dan 2 lagi di Blok Dedikasi, yang terletak bersebelahan dengan bangunan utama STBP.



Pada tahun 1964 pula sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 8 buah bilik darjah dibina berdekatan dengan rumah guru besar dan menggantikan bangsal atap. Bangunan itu kini dikenali sebagai Blok Bestari.


Mulai 12 Mei 1965, sebuah bangunan perpustakaan yang selama ini ditempatkan di tingkat bawah bangunan utama (kini bilik Bimbingan dan Kaunseling) telah dipindahkan ke bangunan barunya yang tersendiri dan terletak berdekatan dengan kantin sekolah. Bangunan ini dikenali sebagai Blok Mustika. Bangunan perpustakaan ini didirikan atas sumbangan dan usaha Persatuan Murid-Murid Tua (Old Boys Association) Sekolah Tinggi Batu Pahat. Untuk membina bangunan perpustakaan ini, pihak sekolah telah mengadakan sebuah konsert yang mempersembahkan lakonan Macbeth yang dipetik daripada hasil karya Shakespeare. Pertunjukan ini yang dikendalikan di bawah kelolaan guru besar ketika itu, K. M. Mathai diadakan pada September 1964 dengan kebenaran pihak polis No.40/64 Batu Pahat. Pertunjukan ini mempunyai matlamat mengumpulkan derma sebanyak $10 000, tetapi malangnya hasil pungutan yang sebenar hanya $5447.Setelah ditolak perbelanjaan pertunjukan, hanya $4498.15 tinggal. Ini adalah berdasarkan laporan kewangan STBP bertarikh 12 Oktober 1964. Upacara meletakkan batu asas bangunan yang berukuran 65 kaki X 60 kaki ini dilakukan pada 21 Mac 1964. Pembinaannya dilakukan oleh Kontraktor Tan Meng Huat dari 100-1, Jalan Syahbandar Batu Pahat. Bangunan perpustakaan ini kemudiannya dirasmikan pembukaannya oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia pada 31 Mei 1965. Petanda perasmian ini masih kelihatan di pintu masuk utama STBP. Buku-buku perpustakaan Sekolah Tinggi Batu Pahat ini telah disumbangkan oleh banyak pertubuhan, penerbit buku dan pihak-pihak lain. Antara mereka yang terawal memberi sumbangan termasuklah : • The Asian Foundation Kuala Lumpur Lembaga Perusahaan Getah (Menanam Semula) • Anthonian Berhad Kuala Lumpur • The Oxford University Press Kuala Lumpur • Eastern Book Centre Kuala Lumpur • Lincoln Cultural Centre Kuala Lumpur • Kedutaan Amerika Syarikat Kuala Lumpur Menjelang akhir tahun 1968, Perpustakaan Sekolah Tinggi Batu Pahat mempunyai kira-kira 7600 naskah buku, buku yang berbagai-bagai jenis ilmiah. Sumbangan-sumbangan terus diterima daripada pelbagai pihak untuk menambahkan lagi bilangan buku di perpustakaan ini. Pada tahun 1987, Dr. Chua Soi Lek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bandar Penggaram telah menyumbangkan $2 000 kepada perpustakaan STBP. Separuh daripada sumbangannya itu digunakan untuk membeli buku-buku ilmiah dan rujukan sementara yang separuh lagi digunakan untuk melengkapkan lekapan dan lengkapan di perpustakaan. Memandangkan perkembangannya yang begitu pesat, pihak sekolah telah berusaha mendapat seorang Pembantu Perpustakaan. Usaha-usaha ini mengambil masa yang agak lama dan akhirnya mencapai kejayaan di mana seorang Pembantu Perpustakaan telah diperolehi dan beliau memulakan tugasnya sehinggalah hari ini. Pembantu Perpustakaan ini adalah salah seorang pekerja am sekolah ini dan telah dilantik menjadi pembantu khas perpustakaan. Beliau itu ialah En. Hamzah bin Haji Nor, yang baru-baru ini telah bersara pada tahun 1997. Serentak itu perpustakaan ini telah dilengkapkan dengan alat penghawa dingin mulai bulan April 1969. Pembekalannya dan pemasangannya telah dilakukan oleh The Borneo Co. (M) Sendirian Berhad dari No.5, Jalan Hang Jebat, Melaka. Perbelanjaannya sebanyak $10 944. Selepas itu usaha-usaha diteruskan untuk melengkapkan lagi perpustakaan ini dengan meminta sumbangan-sumbangan daripada pelbagai pihak tertentu. Antara sumbangan yang diterima itu termasuklah $5 000 daripada Menteri Besar Johor pada tahun 1979.




Pada tahun 1968, sebuah bangsal atap telah diruntuhkan dan digantikan dengan sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 6 buah bilik darjah. Kini, bangunan ini dinamakan Blok Cekal. Pembinaannya adalah bertepatan dengan permulaan tingkatan 6 Sastera di STBP, dan telah membolehkan STBP menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.



Pada masa yang sama, sebuah bangunan kantin yang baru dan lebih luas telah dibina untuk menggantikan bangunan kantin yang lama. Ianya terletak bersebelahan bangunan perpustakaan dan masih kekal sehingga hari ini.

No comments: